Info Industri Buku


Kota Buku Bakal Diwujudkan Akhir Tahun - Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kota Buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini untuk membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata projek tersebut yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi membolehkan peminat sastera menikmati pelbagai karya bermutu dari pelbagai penerbitan.

Katanya, Kota Buku turut berperanan dalam memajukan sektor penerbitan dan kesusasteraan di negara ini.

"Kita sudah ada bangunan yang kita akan majukan di Kuala Lumpur. Sebahagiannya untuk dijadikan sebagai Muzium Guru manakala sebahagian lagi sebagai Kota Buku.

"Ia akan dimulakan akhir tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dan dijangka siap tahun depan. Pembinaannya hanya memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian.

"Pihak yang berminat boleh menyewa ruang untuk mempamerkan hasil karya mereka atau hasil terbitan yang mereka keluarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melancarkan Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Koleksi tersebut merupakan sebahagian projek penterjemahan 100 judul karya sastera tempatan ke dalam bahasa-bahasa utama dunia, yang dibiaya oleh kerajaan dan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan, dari 2008 hingga 2010.

Sebanyak 28 karya dilancarkan hari ini, termasuk empat di dalam bahasa Perancis dan satu di dalam bahasa Sepanyol.

Muhyiddin juga berkata kajian penggubalan kurikulum pengajian sastera di sekolah-sekolah telah dilakukan bagi meningkatkan lagi perkembangan bidang sastera negara.

"Kita kaji apa jenis buku yang hendak digunakan dan untuk peringkat mana. Sastera diajar lazimnya dari peringkat sekolah menengah ke universiti jadi kita mahu selaraskan supaya ada kesinambungan, tautan yang rapat antara pengajian sastera di sekolah menengah dan universiti," katanya.

Mengenai wujudnya sekatan terhadap karya-karya tertentu khususnya dari Indonesia, Muhyiddin berkata dasar negara tidak mengamalkan sekatan ke atas mana-mana karya asalkan ia tidak menimbulkan masalah kepada pembaca.

"Saya kurang pasti sama ada ia (sekatan) oleh Kementerian Dalam Negeri, tapi kalau ikut dasar kita, kita tak sekat dari negara mana sekalipun asalkan ia tidak dianggap sebagai menimbulkan masalah kepada pembaca.

"Mungkin ada sebab-sebab tertentu kenapa ia tidak dibenarkan masuk," katanya.

-- BERNAMA

0 Responses to "Info Industri Buku"

Post a Comment